Pengarah Filem Jual Minyak Argan

Pengarah Filem Jual Minyak Argan

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pengarah muda, Syafiq Yusof kini mengorak langkah dalam bidang perniagaan dengan memperkenalkan produk kecantikan berasaskan minyak argan - Luxone Argan Oil.

Luxone Argan oil ialah produk kecantikan khusus untuk penjagaan kulit, rambut dan kuku dengan 100 peratus asli dari organik Argania Spinosa, pati minyak dari Maghribi.

Syafiq yang juga anak pengarah filem terkenal Datuk Yusof Haslam serta pernah mengarah filem seperti S.A.M. dan Desolasi berkata, beliau berminat dengan perniagaan sejak dahulu lagi dan sentiasa mencari produk yang terbaik untuk dipasarkan.

"Saya dah buat tujuh buah filem tetapi hari ini saya melancarkan produk kecantikan untuk lelaki dan perempuan sebab saya yakin dengan produk ini di mana kita tahu minyak argan memang mempunyai permintaan yang tinggi dan saya ingin berikan minyak argan yang terbaik kepada pengguna di luar sana.

Tambahan pula, saya telah melihat isteri saya menggunakan produk ini yang memberi kesan positif ke atas kulit, kuku dan rambutnya yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk memasarkannya dan kemudian menubuhkan Luxone International Sdn Bhd bersama beberapa orang rakan lain," kata Syafiq selaku Ketua Pegawai Eksekutif Luxone International pada majlis pelancaran baru-baru ini.

DATUK ROSYAM NOR SEBAGAI DUTA

Sementara itu, pelakon, pengarah filem popular dan usahawan Datuk Rosyam Nor telah dilantik sebagai duta produk Luxone Argan Oil.

Menurut Rosyam, beliau bersetuju untuk menjadi duta selepas mendapat kesan yang positif hasil daripada penggunaan produk tersebut.

"Semasa saya ada penggambaran filem KL Special Force, Syafiq meminta saya menggunakannnya sebagai testimoni sebelum ia dilancarkan dan kemudiannya saya tertarik dengan produk ini yang bersifat anti penuaan dan memberi kelainan kepada kulit, rambut dan juga kuku," jelasnya lagi.

Minyak argan terkenal dalam bidang kosmetik kerana ia mempunyai 1001 khasiat yang baik untuk merawat masalah kulit, rambut dan juga kuku serta bersifat anti penuaan semula jadi yang terbaik.

Produk Luxone ini sudah berada di pasaran dan tempahan boleh dibuat secara online menerusi laman web www.luxone.com.my atau hubungi menerusi emel di alamat This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dan harga untuk sebotol ialah RM69.90 (tidak termasuk GST).

-- BERNAMA